Samseng Sekolah – Trend atau Realiti?

Rita NM March 2, 2009 3


Isu pelajar samseng atau gangsterisme bukan satu isu yang baru yang berlaku di sekolah atau di universti-universiti dan kolej-kolej tempatan. Malah, saban tahun, ada sahaja kes-kes pergaduhan membabitkan pelajar. Malah setiap minggu pasti kita disajikan berita-berita pergaduhan pelajar sehingga melibatkan kecederaan dan kematian.

Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) koma  selepas dibelasah sekumpulan remaja lelaki, dalam pergaduhan dipercayai  berpunca daripada cemburu, di Persiaran Gurney. Beliau sudah kembali ke Rahmatullah

Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) koma selepas dibelasah sekumpulan remaja lelaki, dalam pergaduhan dipercayai berpunca daripada cemburu, di Persiaran Gurney. Beliau sudah kembali ke Rahmatullah

Cuba kita baca petikan ini yang diambil dari Harian Metro bertarikh ’03/03/2009′ bersamaan dengan hari isnin:’

  • Seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia selepas seminggu koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja yang dipercayai pelajar sekolah. Apakah ini trend pelajar masa kini, hanya berebut seorang gadis, pelajar terbabit dipukul dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain ditendang tanpa belas kasihan.
  • Pengawas sekolah dibelasah 10 pelajar berikutan tidak puas hati ditegur ketika membuat bising di dalam kelas dan kereta baru guru sebuah sekolah dibakar kerana ditegur tidak menyiapkan kerja sekolah.
  • Seorang pelajar di belasah di asrama oleh 10 pelajar akibat dituduh mencuri telefon bimbit.

Isu-isu berbangkit

Dari petikan di atas,  saya boleh membuat kesimpulan punca pelajar samseng adalah berikutan daripada perebutan gadis di antara dua orang jejaka yang sudah menjadi trend pada masa ini. Tidak semestinya samseng melibatkan golongan lelaki malah golongan perempuan pun tidak kurang hebatnya.

Selain isu perebutan gadis,  isu teguran juga dianggap serius oleh pelajar samseng ini. Mereka tidak boleh ditegur atas kesalahan yang mereka lakukan dan bertindak ganas kepada si penegur ini. Bagaimana kita mahu mendidik mereka sedangkan mereka tidak boleh ditegur atas kelakuan mereka?

Isu yang seterusnya, pelajar samseng ini suka mengikut undang-undangnya sendiri iaitu mengambil tindakan sendiri dengan menghukum pelajar lain tanpa usul periksa. Apa hak mereka sehingga membelakangkan undang-undang keselamatan negara. Adakah mereka hanya ingin menunjukkan kekuatan mereka masing-masing.

Faktor-faktor wujudnya gangsterisme

Setiap masyarakat terutama di negara kita punya cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ada yang menyelesaikan masalah dengan cara baik dan apa pula yang menggunakan kekerasan. Kemungkinan pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini datangnya daripada keluarga dan tempat tinggal yang menjadikan keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah. Apa yang mereka lihat, ia sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan mereka ketika berhadapan dengan masalah.

Selain itu, pengaruh daripada media massa salah satu faktor yang menjadi penyebab masalah samseng sekolah ini. Jika diperhatikan, kebanyakan drama atau filem yang disiarkan di kaca televisyen sering menunjukkan setiap babak pertelingkahan akan diakhiri dengan pergaduhan.Walaupun masalah ini bukanlah perkara baru, tindakan sewajarnya perlu diambil agar masalah keganasan samseng sekolah ini dapat diselesaikan.

Penyelesaian gangsterisme

Bagi menyelesaikan masalah ini, kaunseling bukanlah jalan terbaik sebaliknya mereka ini perlu mengikuti program psikologi. Biasanya, masalah disiplin pelajar akan dirujuk kepada sesi kaunseling tetapi bergantung kepada keadaan kes. Mereka ini bukanlah bermasalah tetapi pembawa masalah. Oleh itu, kaunseling bukanlah jalan yang terbaik dalam mengatasi masalah samseng sekolah ini.

Menurut Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim,  program Intervensi Psikologi digunakan untuk membawa pelajar ke pangkal jalan. Intervensi Psikologi akan mendedahkan pelajar dengan program yang dapat membantu mereka lebih matang dan menjauhkan diri daripada kekerasan dan keganasan.

Pengakuan bekas samseng

Petikan dari Harian Metro bertarikh ’03/03/2009′ bersamaan dengan hari isnin

Mohd Firdaus (bukan nama sebenar) yang pernah terbabit dengan kumpulan samseng sekolah lapan tahun lalu berkata, seseorang pelajar itu tidak akan bertindak ganas jika tidak dicabar pihak lain.

Menurutnya, sebagai remaja, kekuatan dan kuasa penting dalam kehidupan terutama di sekolah. Justeru jika terbabit dengan kes pergaduhan, ia memberikan satu kepuasan dan kebanggaan.

“Biasanya, sesuatu pergaduhan tercetus kerana dicabar pihak lawan ataupun mereka mengusik dan mengganggu kumpulan samseng sekolah ini.

“Selepas cabar mencabar, sesi pertemuan yang didalangi orang tengah akan dirancang dan di situlah pergaduhan tercetus,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus yang pernah dipenjara seminggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selepas membelasah pihak lawan, tidak ada apa yang dirasainya kecuali kepuasan.

Namun, selepas pergaduhan itu menjadi kes polis, barulah perasaan menyesal itu timbul.

Oleh itu, Mohd Firdaus berharap pelajar yang baru atau terbabit dengan samseng sekolah ini meninggalkan kumpulan itu demi masa depan.

“Semua orang inginkan kuasa dan nampak kuat. Namun, jangan kerana mengejar kuasa itu, kita hancurkan masa depan dan menghampakan harapan orang tua kita.

“Jangan terlalu ikutkan darah muda yang kononnya hanya boleh dirasai sekali seumur hidup kerana ia akan merosakkan dan meninggalkan kesan mendalam sepanjang hidup,” katanya.

Oleh itu, samseng sekolah bukan merupakan trend tapi ia merupakan realiti kehidupan pelajar-pelajar untuk menyelesaikan masalah mereka dengan jalan keganasan. Mereka telah mempertaruhkan masa depan mereka dengan memilih jalan yang salah. Adakah ini salah keluarga, pendidik atau diri sendiri? Tepuk dada tanya diri sendiri..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...